Saya tuliskan artikel ini untuk para pembaca yang mungkin ingin mengetahui sepintas lalu tentang Kota Raya London yang bersejarah, penuh dengan daya tarikan pelancongan dan yang menjadi nadi ekonomi dunia. Sebuah Kota Raya penuh misteri dan merupakan wadah penerokaan ilmu. Walaupun saya bukanlah seorang pakar tentang subjek ini, namun pengalaman bermastautin di United Kingdom secara kumulatifnya selama lebih kurang 9 tahun sebagai pelajar dan Diplomat (bertaraf Menteri Penasihat Bahagian Pendidikan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia), telah membolehkan saya menukilkan beberapa fakta tertentu dan mencoretkan pendapat tentang Kota Raya ini.
Terlalu banyak hendak dibicarakan tentang kota London. Namun kota kosmopolitan ini bukanlah asing bagi kebanyakan warga di tanah air. Mungkin ramai di antara kita yang lebih tahu tentang London daripada beberapa warga London sendiri. Mungkin juga rakyat Malaysia lebih terdedah dengan maklumat atau berita dunia daripada orang-orang di London kerana rata-rata media massa di sini lebih tertumpu kepada berita-berita tempatan. Lantaran itu, pengetahuan kebanyakan warga London tentang berita-berita luar agak terhad. Masih ada yang tidak tahu di mana Malaysia berada. Malah ada yang tahu sedikit, menganggap Malaysia masih di selubungi hutan belantara dan yang unik sedikit pun ialah menara berkembar Petronas dan litar F1 Sepang.
Maklumat tentang London boleh didapati dengan mudah, terutamanya melalui internet. Beratus-ratus laman web dengan berjuta-juta maklumat tentangnya tersimpan di dalam jentera-jentera pencarian. Dari fakta fizikal, persekitaran, komersil, sosio-politik, pendidikan dan sebagainya sehinggalah berita-berita sensasi hiburan siap sedia untuk dicerapi melalui sistem maklumat digital ini. Terlalu banyak maklumat tentang kota masyhur ini boleh didapati hingga sehari suntuk pun belum mencukupi untuk melayari beberapa laman web terkemuka sambil menelan pelbagai maklumat tentangnya.
London sepintas lalu
Untuk kemudahan pembaca, dinukilkan sepintas lalu tentang beberapa fakta menarik kota raya penuh bersejarah ini. London mempunyai di sekitar 7.2 juta penduduk pelbagai bangsa dan kumpulan etnik. Satu dari empat penduduknya adalah bukan keterunan Anglo-Saxon. Tegasnya hampir 2 juta warga kota London berasal dari pelbagai negara seluruh dunia. Rakyat Malaysia (termasuk para pelajar, pekerja sementara dan pemastautin tetap) yang tinggal di sekitar London sahaja dianggarkan berjumlah lebih kurang 10,000 orang.
Di beberapa tempat di kota ini, seperti Southall contohnya, bagi pelawat yang baru tiba, tentunya beliau akan tertanya-tanya sama ada beliau berada di London atau di New Delhi. Berkumandang radio tempatan, “Sunshine”, yang disiarkan di dalam bahasa Hindi atau Urdu di sekitar kawasan tersebut. Mungkin kawasan di sekitar Masjid India di KL boleh dijadikan contoh yang hampir sama dengan Southall. Oleh itu tidak hairanlah jika lebih kurang 300 bahasa dituturkan di kota penuh warna warni ini. Namun Bahasa Inggeris tetap menjadi bahasa tuturan utama dan rasmi.
97% daripada 189 negara yang menganggotai Bangsa-Bangsa Bersatu mempunyai kedutaan
atau suruhanjaya tinggi di kota ini. Bererti hampir 15,000 diplomat asing serta ahli-ahli keluarga masing-masing bermastautin dan bekerja di ibu negara Britain ini. Malaysia sendiri diwakili oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi dan hampir 30 diplomat. Justeru, Kota London adalah kota terkemuka yang menyediakan saluran diplomatik dan wadah politik antarabangsa. Ia juga menyediakan tempat perlindungan kepada suaka-suaka politik seluruh dunia.
Kota Raya London adalah juga pusat komersil terkemuka di dunia. Terdapat 486 bank dari negara-negara asing yang menyediakan pekerjaan kepada lebih daripada 200,000 orang. Malaysia sendiri mempunyai 3 bank iaitu Bank Negara, Maybank dan Bumiputra-Commerce yang menyediakan perkhidmatan tertentu. Terdapat 20 buah syarikat insurans terbesar di dunia dan 30% daripada syarikat-syarikat multi-nasional terkemuka di dunia yang berpangkalan di sini. Dianggarkan 65% daripada syarikat-syarikat yang disenaraikan oleh Fortune 500 terdapat di kota raya ini. Dari sumber yang boleh dipercayai, rakyat Malaysia kini menguasai atau memiliki 30 syarikat-syarikat terkemuka di sini.
Perlu dinyatakan bahawa London juga merupakan pintu gerbang untuk aktiviti-aktiviti komersil ke negara-negara Kesatuan Eropah atau European Union yang mempunyai penduduk di sekitar 374 juta orang.
Bursa saham London adalah di antara yang terbesar di dunia. Lebih 500 syarikat terkemuka dari 30 negara disenaraikan di bursa ini.
Sebagai kota raya ilmu, Greater London mempunyai 38 universiti dan kolej terkemuka di samping hampir 300 pusat-pusat pengajaran dan pembelajaran yang menyediakan tempat kepada sekitar 350,000 pelajar tempatan dan asing. Pelajar Malaysia (yang ditaja dan persendirian) yang menuntut di sekitar London sahaja dianggarkan berjumlah 3,000 orang.
Greater London meliputi kawasan seluas 480,000 ekar tanah. Tidak semuanya keluasan tanah ini dibangunkan dengan binaan-binaan dan infrastruktur. 39% dari keluasan Greater London di pelihara sebagai kawasan lapang dan kawasan hijau. Di antara kawasan-kawasan tersebut yang menarik ialah taman-taman yang luas seperti the Hyde Park/Kensington Garden dan Regent Park. Kawasan lapang yang menghijau dan luas ini adalah wadah penafasan kota raya ini. Tanpa kawasan ini tentulah London tidak dapat terlepas daripada masalah pencemaran udara yang kronik. Pencemaran udara yang dihasilkan oleh warga London setiap tahun meliputi gas-gas seperti karbon dioksida (60 juta ton), sulfur dioksida (400,000 ton) dan nitrogen dioksida (280,000 ton).
Menyentuh tentang pencemaran, kota raya London terpaksa memproses lebih 23 juta ton sampah sarap dan enapcemar setiap tahun hasil daripada penggunaan sekitar 1 ribu juta ton bahan mentah oleh warga dan industrinya.
Bagi mereka yang bersemangat keusahawanan di tanah air tentulah dapat membayangkan betapa besarnya peluang-peluang mengeksport bahan-bahan kegunaan seharian seperti makanan yang diproses atau mentah untuk menampung keperluan warga kota ini. Secara mudah harga pasaran sesuatu barang di London hampir 6 kali ganda harganya di Kuala Lumpur. Di utara London, iatu di Edgware terdapat sebuah pasar raya yang dikenali sebagai “Oriental City” yang memasarkan sebahagian besar pelbagai makanan dari Malaysia. Pasar raya ini menjadi tumpuan utama orang-orang Malaysia dan negara-negara Asia lain yang bermastautin di sini. Selain itu, makanan halal mempunyai permintaan yang kian meningkat di kalangan hampir 1.5 juta penduduk beragama Islam di sekitar kota ini.
Industri pelancongan merupakan industri kedua terpenting di London. Sekitar purata 28 juta pelancong (40% daripadanya pelancong asing) membanjiri kota ini setap tahun. Seramai 225,000 penduduk London terlibat di dalam industri ini yang menyumbangkan pendapatan hampir RM 50 ribu juta setahun. Terlalu banyak tempat –tempat serta aktiviti-aktiviti menarik terdapat di sini. Oxford Street yang terkenal itu, contohnya sentiasa dibanjiri pelancong sepanjang tahun. Begitu juga dengan gedung-gedung terkenal seperti Harrods, Selfridges, Marks and Spencer dan Woolworths yang sentiasa tidak putus dengan orang ramai.

